January 11, 2010

ILHAM KEMBARA


Dengan nama tuhan yang maha pemurah lagi maha penyayang…

Sekadar perkongsian...

Hati mana tidak berbunga apabila diizinkan untuk menyertai daurah ilmiah ke Kuala Lumpur, Singapura dan Indonesia. Pada mulanya, sukar juga saya untuk meyakinkan ibu bapa tentang kelulusan program ini, namun begitu, pertanyaan mereka hanya sekadar untuk menguji kesungguhan saya sama ada bersungguh-sungguh atau tidak untuk turut serta dalam daurah ini. Maklumlah, saya memang selalu mengubah keputusan di hari-hari terakhir.

Permulaan perjalanan daurah ini bukanlah bermula pada hari bermulanya musafir kami, tetapi ia bermula lebih awal. Bagi saya, kesukaran untuk mendapatkan cop jari (untuk menggantikan kad pengenalan yang telah rosak) merupakan mehnah pertama yang saya lalui, masakan tidak, hampir 20 minit, saya berada di kaunter semata-mata untuk itu. Air mata mula bergenang, di tambah pula dengan kesukaran yang bakal dilalui. Saya diminta pulang ke Perlis, untuk mendapatkan surat pengesahan daripada Jabatan Pendaftaran Negeri. Berserabut fikiran ketika itu, memikirkan kekangan waktu untuk pulang dan kesukaran untuk membuat posport berkumpulan.

Saya sebenarnya juga mengucapkan jutaan terima kasih kepada kerani yang berkenaan kerana dengan sabarnya dia mencuba untuk membantu saya, puas juga dia menelefon pihak tertentu bagi bertanyakan penyelesaian bagi masalah saya. Keputusan terakhir diambil, andai masih tidak dapat juga cop jari, maka saya mungkin akan tercicir dari menyertai daurah ini. Namun, itulah kuasa ALLAH, saya meminta kerani tersebut untuk mencuba buat kali terakhir, dan Alhamdulillah, apa yang diinginkan diperolehi.

Melihat kesungguhan AJK passport untuk meyiapkan tugasan mereka membuatkan ana terfikir, betapa kuatnya kesungguhan mereka untuk meneruskan daurah ini. Mana mungkin mereka sanggup untuk mengorbankan masa ulangkaji ditambah pula dengan peperiksaan yang hanya tinggal beberapa hari lagi. Bukan hanya AJK passport yang menjalankan tugas mereka dengan cemerlang, majlis tertinggi dan juga ahli jawatan kuasa lain juga begitu. Saya yakin, berkat usaha, doa dan tawakal yang tinggi menjadikan mereka diberi kekuatan oleh ALLAH S.W.T untuk terus menjayakan tugasan masing-masing. Saya juga diuji sekali lagi apabila kesukaran untuk mengambil kad pengenalan yang telah siap. Ini adalah kerana cop jari yang disebelah kiri telah berubah, dan yang sebelah kanan pula tak dapat dikesan oleh mesin. Semoga kejadian ini akan mendidik jiwa saya menjadi insan yang sentiasa bersyukur.

Pada 14/12/2009, saya bertolak ke rumah sahabat seperjuangan, nakiah untuk bermalam di sana. Pada keesokan harinya, kami bertolak ke maktab pada jam 8.30 pagi. Satu lagi ujian yang terpaksa saya lalui apabila, plastic yang mengisi kasut telah dicemari dengan kencing kucing dan tidak terkecuali tudung juga berbau najisnya. Ya ALLAH, betapa ia menguji kesabaran saya apatah lagi saya memang trauma pada kucing. Namun, saya yakin sudah pasti ada hikmah yang tidak tersingkap nilainya.

Destinasi pertama untuk kami samapai ialah Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM). Mengikut perancangan, kami akan berada di sini selama lima hari. Saya bersama sahabat saya tiba pada jam 5.30 petang. Hujan lebat menyambut kedatangan kami. Melihat bagunan asrama tempat kami menginap membuatkan saya tertanya-tanya, ada lif tak?. Saya memikirkan beg berat yang terpaksa diangkat andaikata mendapat aras yang atas. Doa diukir di dalam hati agar segalanya dipermudakan Ilahi. Alhamdulillah, segalanya dipermudahkan, masakan tidak, beg yang amat berat itu diangkat oleh pak cik zainal, iaitu pemandu bas yang kami naiki. Semoga Allah memberkati beliau.

Seterusnya, saya ingin membuat kesimpulan sepanjang berada di sini.

Kami menerima layanan yang cukup baik dari pihak ILIM. Setiap hari, pengisian dari sudut aqidah amat memberansangkan minda. Banya perkara baru yang diperolehi. Tempat ini sesuai untuk kursus yang melibatkan Islam. Jadi tidak mustahilah, ILIM menjadi pilihan untuk pengambaran rancangan adik-adik ku yang akan ditayangkan pada tahun 2010. Di samping itu, kursus untuk orang asli juga ada dijalankan disini. Keselesaan tempat penginapan juga tidak dapat dinafikan. Makanan yang disediakan juga memenuhi keperluan kami semua. Yang paling terkesan sepanjang berada di sini ialah apabila saya berpeluang mengikuti majlis bersama Syeikh Yusof Al-Qardhawi. Ketenangan wajah dan akhlak yang terbias pada seorang ulama’ amat meruntun hati kecil ini. Air mata mengalir semasa keberangkatan ulama’ tersohor ini meninggalkan dewan mewah PICC, tergambar difikiran, keadaan syeikh yang sudah berumur, bertongkat dan wajah yang tersenyum namun masih menggagahkan diri untuk menyampaikan seruan beriman kepada ALLAH. Mampukah pemuda masa kini menjadi seperti beliau? Hakikatnya, kita ketandusan ilmuwan untuk menyelasaikan masalah yang kian menikam dunia hari ini.



( AL-Allama' Syeikh Yusof Al-Qardhawi- tengah )

Pada 20/12, kami bertolak ke Johor Baharu dan sebelum sampai ke Sekolah Menengah Kebangsaan Tun Fatimah, kami terlebih dahulu singgah di Danga Bay dan Plaza Angsana. Kami sampai di sekolah tersebut agak lewat dan seterusnya ketibaan pensyarah bersama dengan keluarga mereka. Pada hari esoknya, iaitu 21/12, kami akan bertolak ke Singapura pada jam 4.30 pagi, ini bermakna, kami akan bergerak seawall mungkin, ini adalah lantaran kesibukan di imigresen Singapura. Kami sebenarnya agak lewat bertolak, lebih kurang jam 5.30 pagi, hal ini menyebabkan kami tersangkut di perjalanan. Kami mula terfikir, di mana tempat yang sesuai untuk solat, dan akhirnya, ustaz membuat keputusan untuk bersolat ketika di imigresen singapura.

Di mana bumi dipijak, di situ Islam dijunjung, kami membuat keputusan untuk solat di tepi koridor. Ini adalah kerana, tiada surau di imigresen Singapura. Sudah jelas lagi nyata, betapa manusia begitu mementingkan dunia sehingga hokum ALLAH diabaikan. Selepas itu kami bertolak ke masjid Ba’alawi, makam Habib Nuh, muzium warisan dan ke pameran yang dianjurkan oleh International Religious Organisation (IRD). Jujurnya, saya boleh katakan, bahasawanya, layanan yang diberikan oleh mereka membuatkan rombongan ini terasa begitu dihargai. Habib Hassan dan juga masjid Ba’alawi begitu baik pada kami. Mereka mengajar saya untuk meraikan tetamu sebaiknya. Bermalam di masjid Ba’alawi adalah pengalaman yang tidak dapat dilupakan. Keadaan di situ menyebabkan saya terfkir betapa beruntungnya rakyat Malaysia.


( di masjid Ba'alawi, Habib Hassan turut bersama )

Hari ini, 22/12/2009, kami akan bertolak ke tanjung pinang, namun sebelum itu, kami ke pejabat mufti Singapura. Kedatangan kami disambut sendiri oleh mufti Singapura, iaitu Habib Isa bin Semit. Penerangan tentang pengurusan Islam agak mengagumkan saya. Walaupun kerajaan singapura adalah sekuler, namun semua masjid diuruskan tanpa mengharapkan bantuan dari kerajaan mereka. Masyarakat Islam di sana hanya 14.9%. Alhamdulillah, mereka masih terus berdiri. Fikiran saya juga tidak dapat lari dari memikirkan kesan kemodenan kepada masyarakat Singapura. Ini adalah kerana, pembinaan tempat berjudi yang besar seperti Las Vegas giat dilakukan. Ya ALLAH, terkejut melihat tempat tersebut, begitu besar. Semoga Allah menyelamatkan penduduk negeri ikan todak tersebut.

Petang tersebut, kami berangkat ke Tanjung Pinang, saya perlu memastikan minda saya tidak dipengaruhi bahawa saya akan muntah dan pening. Alhamdulillah, lebih kurang dua jam perjalanan, segalanya berjalan lancar. Kami disambut baik oleh pihak sana dan yang paling terharu bila mana kedatangan kami ke majlis malam tersebut. Turun sahaja dari kenderaan yang membawa kami, terdengar paluan kompang. Hati terasa berbuih-buih lantaran terasa seperti terharu dengan sambutan yang diberikan. Terasa juga seperti pengantin baru yang menjadi tontonan ramai. Majlis malam tersebut seperti kenduri perkahwinan. Bukan hanya makan semata –mata, persembahan dan sesi ramah mesra turut dijalankan. Kembara kali ini benar-benar mengajar kami tentang menghormati tetamu yang hadir.


(Masjid Qanaah - rombongan Malaysia bersama penduduk kampung tersebut )

bersambung...
لا إله إلاّ الله
إلهاً واحداً و نحن له مسلمون

0 bunga:

Post a Comment

Sampaikan kepadaku walau satu ayat.

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More